Tuesday, September 8, 2015

Tidakkah kau perasan? Tidakkah kau sedar?

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Bismillah. Dengan nama Allah.

Biar aku mulakan lembaran dengan memuji ilahi. Kerana dengan izin dan inayah-Nya dapat lagi aku bersua dalam alam maya yang penuh tipu daya. Melihat beberapa luahan yang ada, aku terpanggil untuk menulis sedikit bicara sebagai jawapan bagi persoalan. Sudah lama tidak mengarang. Sudah lama tidak membaca. Ada kebarangkalian ayat tidak tersusun atur. Ada mungkin bunyi tidak rapi. Biar aku cuba…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Perkahwinan ini penuh dengan ujian dan pancaroba. Ujian ini membawa kita ke tangga sebagai platfom kita menuju jalan dewasa. Platfom ini digambarkan dengan tangga. Bukan jalan yang lurus. Tangga. Tak semua orang boleh naik. Tapi tak mustahil semua orang boleh. Tangga. Ianya menuju ke atas. Susah. Bukan senang. Cepat penat, kau akan turun. Laju, kau mungkin akan tergelincir. Turun… tergelincir… ia akan membawa kau terus ke bawah. Orang positif, mereka akan cuba sekali lagi. Tapi golongan ini aku kira di dalam kelompok minoriti. Orang negatif, mereka langsung tinggalkan. Golongan ini majoriti. Sebab itu, orang berjaya di kelompok minoriti. Ramai yang tidak berjaya daripada yang berjaya. Ini bukan sekadar cerita, namun realiti kini. Kita kena hadapi.

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku tidak menafikan perkahwinan ini bahtera kita yang kita bina bersama. Kita kepala membawa gelaran pengemudi bahtera. Namun jangan pernah sesekali kau lupa. Bahtera yang kau bina bukan untuk kau berdua. Bahtera yang kau bina ini ada penumpang yang akan kau bawa sekali. Kau tak mampu nak mengelak. Ini susunan sang pencipta. Kau nak melawan siapa?

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Lumrah kehidupan hidup ini mudah. Formula dalam dunia ini sangat mudah. Islam juga agama yang sangat mudah. Pepatah islam kata, “buat apa yang tuhan suruh, tinggal apa yang Dia larang. Perkara dilarang. Buat dapat dosa, tinggal dapat pahala”. Inggeris juga ada kata, “what goes around, comes around”. Ada juga pepatah yang singkat namun semua orang mengerti, “karma is there”. Formula hidup ini sangat mudah. Dalam terjemahan inggeris ke melayu, “nobody will against us if we do nothing wrong”. Tidak ada seorang pun dalam dunia ini akan menikam kita kalau tidak tidak buat sebarang kesalahan. Ada baiknya refleksi diri.

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Lelaki 9 akal. Perempuan hanya 1. Itu ciptaan Dia. Aku sesekali tidak menafikan dan aku juga tidak boleh mengelak. Disaat nafsu menguasai akal. Kau tanya di mana imam kau? Di mana akal yang lebih itu? Sepatutnya bukan soalan itu kau aju. Namun kau perlu tanya diri dengan soalan itu. Bukan aku tiada. Kau selalu menidakkan aku. Aku cuba hadir. Kau kata nanti. Bukankah aku juga ada cara aku sendiri yang juga perlu ada tolak ansur? Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Kau tanya lagi. Kenapa kasih sayang semakin berkurang. Jangan tanya aku. Cuba tanya diri sendiri. Kenapa ianya berkurang. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Hampir setiap malam di ruangan kamar siapa yang menjadi teman kau? Bukankah ruangan social ‘instagram’, ‘facebook’ yang menjadi teman kau hingga mata lelap membina mimpi? Dan kau tanya kenapa kasih sayang berkurang? Adakah ini caranya? Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku mula bekerja. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Tidakkah kau memahami. Aku tak pernah minta kau berada di meja pintu setiap aku kali pergi dan pulang. Namun cukuplah kalau aku boleh lakar senyuman bila lalu di daun pintu. Pernah? Ya, ada. Namun boleh dikira. Aku rasa di pejabat walau tidak ramai namun mereka lakar suasana hampir 8 jam sehari penuh dengan senyuman dan gelak ketawa. Bukankah kau sebagai suri hati yang patut aku rasa gembira untuk gelak ketawa? Kenapa orang lain yang mampu? Kenapa bukan kau? Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Ya. Disaat kau bawa gelaran isteri. Aku berjanji. Depan orang ramai. Namun hakikatnya bukan dengan manusia tapi dengan sang pencipta. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Kau juga melafazkan janji taat setia hormat akan aku. Yang membawa gelaran suami kau. Yang membawa syurga kau. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Atau kau sudah mula lupa? Dikala konflik menuntut kita, suara siapa yang lebih tinggi menengking. Dimana janji taat setia kau? Hilang! Tanpa seloroh. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Banyak kenangan kau rasa tertinggal di zaman berkasih. Diwaktu bersuami tiada lagi. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Kau seringkali terikat dengan laman sosial kau. Kau seringkali ditambat dengan gadget dunia. Adakah itu cara kau nak cambah kasih sayang? Adakah itu cara yang semai benih kasih suami isteri? Bila ditegur, apa jawapan kau? Tanya diri. Aku tidak mahu berlebih kerana hasilnya aku jamin. Perbalahan. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Syurga kau bersama aku. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau ingat. Syurga aku masih dan kekal dengan mak aku. Kekal selamanya. Aku tidak minta. Itu perintah sang pencipta. Nak menafikan? Nak mengelak? Siapa kita? Aku dilahirkan daripada keluarga yang tidak besar. Tetapi ahli dalam keluarga aku cukup besar buat aku. Tidak mungkin aku ketepikan mereka. Apa salah mereka sampai kau nak membenci sampai tahap tu? Adakah hanya mereka salah dan kita tidak? Mereka ini juga penumpang dalam bahtera kita. Mereka ini juga tetamu dalam bahtera kita. Dan perlu untuk kita melayani sebaiknya tetamu. Aku dah lega. Dengan keluarga kau. Setiap seorang tidak terlepas, aku baik. Hampir seluruh ahli keluarga kau, aku baik. Yang lain hanya belum sempat bersua muka. Hal yang lalu. Aku lupakan. Terus maju kehadapan. Kerana mereka juga tetamu yang ada bersama dalam bahtera kita. Puas aku cuba. Hampir penat. Niat aku cuma satu. Kau juga boleh buat benda yang sama. Tapi? Tanya diri sendiri. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Perkahwinan ini jalan yang mudah untuk menjana pahala. Perkahwinan ini menjadi pembakar semangat untuk laksana ibadah. Betul. Tugas suami mendidik dan membimbing. Bukankah kau juga boleh menjadi pembantu aku dalam konteks imam dan makmum. Imam tak selalunya betul dan makmum tidak selalunya salah. Adakala imam juga salah, makmum tegur. Adakala ada makmum salah, tugas imam menegur. Bukankah kau juga boleh membantu aku untuk membina semangat untuk beribadah? Bila kau ditegur, malah kau menengking dan endah. Tapi… Aku semakin lalai. Aku terpaksa cari jalan untuk berdiri sendiri. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku pilih kau. Bukan siapa kau dulu. Siapa kau dulu, bertubi aku pertahan. Aku tidak kisah. Aku hanya ingin kau yang aku mula kenal dan seterusnya. Tapi kau? Seringkali buat aku mengingatkan cerita dulu. Kenapa? Puas aku cuba lupa. Aku belajar untuk terus lupa. Kadang aku berjaya. Kadang aku gagal. Namun kebanyakkan aku berjaya. Kerana itu cerita aku. Aku yang pilih cerita aku. Aku terus maju ke depan. Tapi kau membuat aku toleh ke belakang sejenak. Tak mengapa. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku menulis ini bukan ingin menuding jari. Sekadar memberi jawapan kenapa. Ingin merungkai persoalan. Agar kau perasan. Agar kau sedar. Bukan ingin menyalahkan. Cuma mengkhabarkan. Agar dapat melayari bahtera berpaksikan kompas yang telah disusun rapi.

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku seringkali lena berseorangan walau kau disebelah…

Aku rela diam…

Saturday, October 4, 2014

Kerana Kamu Seorang Isteri, Pendamping Suami.

Warkah yang dulu telah lama berlalu pergi. Ruangan ini telah begitu lama menyepi. Muka internet yang juga bersuara bagi laluan hati. Tidak semua perkara perlu dilontarkan melalui celahan gigi. Kadang kala ianya perlu dicatitkan dalam nota hati. Saya cuba menulis kembali. Menggantikan tulisan dulu yang telah lama pergi. Seakan terkunci mati tidak berganti. Walaupun ruangan ini telah lama sunyi, rasanya tidak perlu ada pengenalan diri. Semuanya mungkin kenal dan yang baca ini mungkin sahabat sejati. Saya doakan agar semua pembaca adalah kawan sejati yang sentiasa dalam naungan ilahi.

Memandangkan ada yang mencungkil kembali ruangan ini. Saya mulakan dengan kalam bismillah sebagai pembuka bicara dan salam sejahtera daripada diri yang hina ini.

Saya mula ruangan baru ini dengan cerita perkahwinan. Cerita yang dirungkai secara umum yang sekadar untuk dibaca dan menjadi santapan pembaca. Umpama dinding yang diconteng seolah berbicara.

Perkahwinan ini bukan cerita antara dua insan. Dua insan? Ya. Suami dan isteri. Akan tetapi perkahwinan ini cerita antara dua keluarga. Dua keluarga? Ya. Keluarga suami dan keluarga isteri. Anda harus ingat. Antara kedua-dua cerita ini, pasti akan ada yang terluka.

Bila anda terluka. Jangan sesekali persalahkan sesiapa. Kerana apa? Kerana inilah cerita indah tulisan sang pencipta. Namun sebagaimana kita ini dicipta sebagai manusia, kita selalu hanya menuding jari tanpa berbicara. Anda harus juga ingat, terutamanya perempuan. Ya, perempuan. Anda kena ingat dan jangan sesekali lupa. Lupa apa? Ini. Anda adalah seorang anak perempuan. Anda juga bakal menjadi seorang ibu. Bila anda jadi seorang perempuan, ingatlah bila anda telah berkahwin nanti, suami anda adalah orang yang paling utama berbanding ibu bapa anda. Kenapa? Kerana Allah perintahkannya. Jangan persoalankan. Ini kerja Allah. Bila anda jadi seorang ibu nanti, bila anak perempuan anda telah berkahwin, ingatlah suami dia adalah orang yang perlu dia utamakan daripada anda. Anda tidak perlu bersedih. Kerana apa? Kerana ini perintah Allah. Ada hikmah yang Allah selindungkan yang kita tidak tahu.

Perempuan. Bila anda dah berkahwin. Ingat 4 perkara. Allah kata apa?

1) Jaga Solat
2) Taat Perintah Suami
3) Jaga Faraj
4) Puasa Di Bulan Ramadan

Allah suruh 4 perkara. Apa janji Allah? Allah kata, wahai hambaku pilihlah mana-mana pintu syurga yang ingin kau miliki. Itu janji Allah. Bukan saya kata. Duhai perempuan, ingatlah Allah mengutuskan seorang suami itu untuk perjalanan hidup kamu. Perintah pada kata-kata dia. Nescaya kau sangat bahagia. Percayalah.

Acapkali kita impikan...

"moga perkahwinan ini kekal hingga ke syurga",
"till jannah",
"always love you sampai syurga".

Sweet kan.
Manisnya perkahwinan itu.

Perkahwinan itu manis ke? Ya. Perkahwinan selalunya sangat indah. Pandang wajah pasangan, pahala. Pegang tangan pasangan, pahala. Bersayang-sayang, pahala. Tetapi ingatlah wahai sahabat. Amalan pertama dihisap adalah solat. Kalau kita tak solat, sia-sia pahala dalam rumahtangga.

Tidak solat, punca perceraian.
Tidak solat, punca pergaduhan.
Tidak solat, punca segalanya.

Sedangkan orang yang solat juga belum tentu masuk syurga, apatah lagi kita yang tak solat. Sudah pasti kita menempah tiket daftar masuk ke neraka secara percuma. Macam mana nak 'till jannah' kalau tak solat. Bukan senang nak masuk Syurga. Bukan mudah juga nak masuk Neraka. Kenapa? Kerana kerja untuk ke Syurga itu mudah tapi berat nak dikerjakan. Neraka pula? Kerja untuk ke Neraka itu mudah tapi sangat sakit untuk dilakukan. Fikirkan, renungkan.

Duhai perempuan, ingatlah.
Duhai perempuan, ingatlah.
Duhai perempuan, ingatlah.

Syurga kamu di bawah telapak kaki suami kamu. Tak ada pun? Bukan begitu, tersiratnya disebalik ayat ini adalah penentuan syurga seorang isteri adalah daripada suami kamu. Utamakanlah suami kamu dalam apa hal keadaan sekali pun.

Taatlah kepada suami kamu. Nescaya kamu bahagia.
Patuhlah kepada suami kamu. Nescaya kamu gembira.

Duhai perempuan, ingatlah.
Duhai perempuan, ingatlah.
Duhai perempuan, ingatlah.

Bila mana kamu telah berkahwin, patuhlah kepada suami kamu dalam apa jua keadaan sekali pun. Jangan pernah kamu meninggikan suara kepada suami kamu. Kenapa? Kerana Nabi sendiri melarang keras kamu melakukan begitu. Bila mana kamu telah berkahwin, jangan sesekali kamu melawan kata suami kamu. Kenapa? Kerana Nabi sendiri melarang kamu melakukan itu. Sekali kamu melawan, sekali kamu meninggikan suara, tiada tempat yang selayaknya bagi kamu melainkan api neraka untuk kamu. Jangan sesekali kamu meninggikan suara dengan suami kamu. Jangan sesekali kamu melawan kata suami kamu. Kerana apa? Kerana malaikat juga melaknat diri kamu.

Kerana apa?
Kerana Syurgamu dibawah telapak kaki Suamimu.

Sekadar ini sahaja perkongsian kita. Moga ketemu lagi di ruang bicara akan datang.

Entry akan datang saya akan berkongsi pula Bicara Mertua.


Nantikan bersama.

Sunday, September 29, 2013

Ganjaran Buat Mereka Yang Bergelar Isteri :-)

1) “Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya adalah lebih baik dari berpuasa setahun”.

2) “Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah”

3) “Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya lebih baik baginya daripada mengorbankan 1,000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin”.

4) “Apabila isteri hamil ia dicatitkan sebagai seorang syahid dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad”.

5) “Pemeliharaan yang baik terhadap anak-anak adalah menjadi benteng neraka, pandangan yang baik dan harmonis terhadap suami adalah menjadi tasbih (zikir)”.

6) “Tidak akan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya”.

7) “Apabila meninggal dunia seorang dan suaminya redha, nescaya ia dimasukkan ke dalam syurga”. (Hadis Riwayat Tarmizi)

“Seseorang wanita apabila ia mengerjakan sembahyang yang difardhukan ke atasnya, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya maka berhaklah ia masuk syurga dari mana-mana pintu yang ia suka”.

Bertuahnya mereka sebagai seorang wanita yang bergelar Isteri. Begitu besar nikmat yang Allah berikan kepada kita. Terima kasih ya Allah kerana memberi penghargaan kepada mereka sedemikian rupa. Jadikanlah mereka isteri yang solehah kepada suami, dan ibu yang mithali kepada zuriat kami dan tak lupa juga hamba yang taat kepada perintah-Mu, wahai Robbul Izzati 'Arsyil 'Azim.. Amiiin..

Saturday, September 28, 2013

Bercinta dan Setia. Capai Kebahagiaan. Agar sampai ke Syurga sayang.

Bercinta dan Setia saat berada jauh dari mata, bukan sesuatu perkara yang mudah. Tapi kerana sayang, masing-masing akan mencuba sedaya upaya, supaya tiada hati yang terluka. Bila dah jauh, haruslah saling percaya. Bersangka baik juga kunci sesebuah hubungan.

Biar berjauhan,
Asal hati tak berubah.

Biar tak berjumpa,
Asal hati tak lupa.

Cubalah untuk setia,
Walau jauh dimata.

Walau jauh di mata, bak kata orang dekat di hati, kan.? Yang jauh terasa dekat, dengan adanya kuasa teknologi yang serba canggih ini. Tapi jangan pula di salahgunakan.

Di saat dia jauh, biarlah doa yang menyatu dan mendekatkan.
Doa itu kan penghubung terbaik antara kita.

"WANITA diciptakan bukan untuk dikagumi semua lelaki,
tetapi sebagai sumber kebahagiaan seorang SUAMI."

Untukmu wanita:

Jadilah seperti "pohon semalu".
Yang durinya menjadi perisai diri, yang mana daunnya menguncup saat disentuh, akarnya pula kuat mencengkam bumi. Biar tidak berbau wangi dan tidak menarik hati, maka sudah pasti tiada kumbang yang memerhati. Kerana indahmu cukup tersembunyi, hanya untuk seorang yang bernama suami.

Apa tujuan asal perkahwinan ini?
Tanyalah pada diri sendiri duhai wanita yang bakal menjadi bidadari seorang suami.

Selepas luahan hati-hati. Apa yang aku rasa kini sudah kuleraikan. Namun begitu aku sendiri rasa pelik dengan diriku. Rasa seperti semuanya baru bermula. Baru ingin kenal antara satu lain. Aku mula rasa kekok. Aku rasa sangat awkward. Tapi apa yang dalam kekekokkan itu aku tetap suamimu. Sehingga kini juga aku merasa sangat awkward dan tak tahu bagaimana nak adapt suasana yang sepertinya baru.

Apa yang aku katakan akan ku pegang sebaik. Aku terima nikahnya bukan untuk keseronokkan duniawi semata-mata. Aku terima nikahnya kerana aku ingin rasai kebahagiaan rumahtangga dalam keredhaan Allah Taala.

Aku memilikumu dengan lafaz aku ‘terima nikah’ daripada walimu. Aku rasa separuh daripada hidupku telah sempurna.Walaupun apa dugaan dan cabaran yang aku hadapi. Aku rasa cukup bahagia bersamamu sayang. Hakmu sebagai isteri akanku jaga dengan baik dan aku akan hormat zahirmu juga batinmu.

Aku tidak lagi akan meminta dan memaksa kerana aku MENGHORMATIMU setiap masa. Tidak sama sekali kerana aku MENGHORMATIMU. Akan ku pegang kata ku ini kerana aku ingin bersamamu melangkah masuk ke taman syurga.

Apa jua hal keadaan sekali pun. Aku akan belajar untuk terus bersabar. Maju kehadapan. Terus lakar senyuman. Agar capai kebahagiaan.

Cuba faham antara satu sama lain. Itu jalan yang terbaik menuju kebahagiaan abadi. Masing-masing ada hak masing-masing. Apa hak suami? Apa hak isteri? Tepuk dada tanya diri.

Jom kejar syurga sayangg :-)

Thursday, September 26, 2013

Sabar itu indah. Mampukah kita?

Saat kita rebah dan jatuh. Saat kita sedih dan sengsara. Tiada siapa mampu membantu. Hanya tangan dan jari sendiri yang mampu mengesat air mata sendiri. Tiada bantuan. Hanya bertongkatkan kaki sendiri yang dikurnia ilahi. Namun kita sebagai manusia sememangnya mempunyai naluri sendiri. Kehendak sendiri. Keinginan tersendiri. Namun kadangkala kita perlu ketepikan kesemua perkara itu demi memahami kehendak orang lain. Keinginan orang lain. Namun kita hanya manusia biasa. Semua manusia mempunyai akronim yang sama. Walaupun mempunyai persamaan rasa yang sama manusia tetap berbeza. Kadangkala juga kita sukar untuk mentafsir kehendak seseorang. Keinginan seseorang. Apa yang dilakukan. Apa yang diberikan. Semuanya serba tidak kena. Sehingga kadangkala juga hati berkata mengapa aku sahaja yang perlu menjaga hati orang lain dan mengapa orang lain sukar nak jaga hati kita. Sebagai manusia yang hina lagi hamba ingatlah selalu kita mempunyai sang pencipta yang sangat dekat dengan kita yang selalu menjaga hati kita. Tidak kira dimana. Tidak kira siapa. Sifat yang paling indah dan paling disayang oleh manusia mahupun sang pencipta ialah sabar. Sabar adalah satu perkara yang mampu dirasa tapi tidak mampu dilihat mahupun digapai dengan tangan sendiri. Apa sahaja situasi melanda. Apa sahaja perkara mendatang. Tanamlah sifat sabar dalam diri. Nescaya keindahan yang tidak disangka pasti menyusul. Sabar itu indah. Namun tidak semua rasa. Sabar yang kadangkala tewas dengan sifat egois yang menggunung tinggi. Semua manusia mempunyai ego. Semua manusia beremosi. Namun sejauh mana kita mampu mengawalnya? Kita sahaja dapat menilainya. Kadangkala ya, kita ini manusia biasa. Susah untuk menangkis sifat yang berbau api dalam diri. Tapi kita juga yang mengawal diri. Bisa hindar diri sendiri. Kita adalah kita yang berbeda jauh sekali dengan orang lain.

Tuesday, August 13, 2013

Terima kasih Papa. Terima kasih Mama :)

Kadang kala setiap anak pasti akan berkata “Kenapa mak aku tak macam mak dia?”, Yakinlah wahai manusia, Allah tahu yang terbaik buat kita. Sebab itu kita dipilih menjadi anak kepada ibu kita.

Namun aku rasa cukup bertuah dan cukup beruntung menjadi seorang anak yang dilahirkan oleh seorang ibu yang aku gelar ‘mama’.

Aku bersyukur. Aku berterima kasih.

Segala persiapan untuk aku bergelar seorang suami dan akan datang menjadi seorang ayah kepada anak-anak aku telah pun ibu aku persiapkan.

Segala nasihat untuk aku bergelar seorang pemimpin dan ketua keluarga daripada seorang ayah telah aku terima.

Moga aku dapat laksanakan amanah Allah dengan sebaik mungkin. Dan menjadi seorang suami yang baik untuk isteri aku dan ayah yang baik untuk anak-anak aku.

Aku tidak mampu berkata. Aku hanya mampu berdoa kepada sang pencipta.

Terima kasih aku dilahirkan menjadi seorang anak kepada papa dan mama.

Ya Allah, engkau haramkanlah wajah ibu dan bapa aku daripada disambar api nerakamu. Kau sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangi aku semasa aku kecil J

Monday, March 25, 2013

Pentunjuk Cinta =)


Assalamualaikum kepada semua bloggers dan blog readers. Apa khabar anda diluar sana? Saya doakan anda semua berada dalam keadaan yang sihat sejahtera. Berdoalah selalu kepada sang pencipta agar kita sentiasa dalam rahmat dan naungan ilahi. Moga-moga kita sentiasa dalam maghfirah Allah SWT.

Matahari menerangi siang. Bulan menerangi malam. Sudah pasti kita bergelar manusia ini ‘ilmu’ menerangi kita. Hidup perlu berilmu, baru mudah melangkah dan mencorak hidup. Hari ini, saya ingin berkongsi tips daripada saya sendiri. Ini diri saya, diri anda diluar sana mungkin berbeza.

Tips yang saya ingin kongsikan ialah “Istikharah Cinta”. Hakikat manusia. Lumrah manusia. Fitrah manusia. Sememangnya inginkan pasangan atau teman hidup yang cukup sempurna. Tetapi harus ingat ‘sempurna’ itu milik-Nya. Sejauhnya mana kita mencari yang sempurna, tetap ada yang sebaliknya. Memang kita mencari rupa paras yang elok. Keperibadian yang tinggi dan sebagainya. Tetapi ingat, walaupun kita mampu mencari yang sedemikian, namun adakah si dia itu yang terbaik buat kita?

Oleh itu, pentingnya kita lakukan istikharah untuk kita mencari kepastian dan keyakinan adakah si dia jodoh yang terbaik buat kita. Jodoh atau teman hidup ini jangan sesekali kita pandang remeh kerana si dia yang bakal teman kita sampai akhir hayat kita. Setelah kita melakukan istikharah petunjuk yang kita terima tidak semestinya mimpi sahaja. Kadangkala mimpi itu mainan tidur. Kadangkala ia boleh datang melalui perasaan hati. Sebagai contoh, tatkala kita menyebut-nyebut nama si dia, hati kita menjadi lapang, gembira senang manakala sebaliknya jika kita menyebut-nyebut namanya hati kita menjadi sempit, nak marah dan sebagainya.



Berdoalah selalu...
“Ya Allah ya tuhanku, jikalau dia benar jodoh yang terbaik buatku, kau satukanlah hati kami dengan satu ikatan yang engkau redhai iaitu ikatan pernikahan. Jika dia bukan untukku, kau pisahkanlah kami tanpa rasa sebarang kesedihan”

Teman hidup bukan sahaja hadir tatkala senang tetapi juga hadir di sisi tatkala kita susah. Jadi, istikharahlah kalau nak memilih pasangan. Nescaya anda mudah untuk melalui hari-hari anda bersama si dia. Perhubungan antara dua insan, tipu kalau tak pernah gaduh. Tipu kalau tak pernah bermasam muka. Tipu kalau tak pernah ‘touching’. Tipu kalau tak pernah sentap. Tipulah kan kalau tak pernah ada semua tu. Itulah fitrah dalam perhubungan. Jadi, kalau anda dah istikharah dan yakin bahawa dia jodoh yang terbaik buat anda, tiada lagi persoalan dalam minda, “Betul ke aku pilih dia ni?”, “Menyesal aku pilih kau!”, “Kenapa kau datang dalam hidup aku?”, kan? Kalau yang yakin, nescaya tiada lagi persoalan sebegitu. Anda akan senang dengan mereka walaupun apa yang berlaku. Percayalah. Senyum selalu =) 

Thursday, March 7, 2013

Sakitnya rindu. Awak tahu taakkkkk?

Senyumanmu menikam kalbuku. Wajahmu meredup hatiku. Pandanganmu menyejuk perasaanku. Kata-katamu melembut naluriku. Keberadaanmu menyeri hidupku. Hidupmu bagai separuh hidupku. Tanpamu hilang arah tujuku. Tiadamu jatuh aku daripada terus melangkah. Hilangmu bagaikan jatuh bederai gelas dalam genggamanku.

Itu semua mungkin awak tafsirkan hanya ayat-ayat cinta yang memancing sanubari kaum hawa. Mungkin awak hanya anggap ia mainan kata-kata daripada seorang yang selalu mengupas ayat-ayat novel dan ayat-ayat puitis.

Apa guna saya lontarkan ayat-ayat itu kalau bukan ditujukan untuk awak? Apa guna sasterawan berkarya ayat-ayat madah itu kalau bukan untuk lahirkan perasaan kasih sayang dan cinta? Berkarya bukan mudah, ia memerlukan penzahiran sesebuah perasaan yang perlu diterjemahkan melalui dakwat yang tertanam di atas sekeping kertas.

Sakit. Awak tahu saya sakit? Mungkin saya selalu mengukir senyuman semata-mata untuk berkongsi bahagia bersama awak. Jarang sekali saya keluarkan perasaan sakit itu dihadapan awak. Sekali sekala saya terjemahkan sakit itu melalui sebuah penulisan. Agar awak tahu saya juga sakit L

Kadang-kadang saya nak tulis, 'saya rindu awak' atas sebiji batu kemudian baling batu itu kuat-kuat kat awak. Mesti awak rasa sakitkan.. Pabila awak terkena saja batu itu, suara hati awak mesti berkata, 'kejamnya awak?! Sanggup baling batu kat saya!'. Tapi sebenarnya saya nak awak tahu yang saya sangat sakit bila rindukan awak.

Titipan rindu buatmu kekasih

Tatkala saya rindukan awak, itu beerti saya sangat inginkan perhatian seratus peratus daripada awak. Tetapi jarang sekali saya dapat perhatian itu. Apakan daya. Saya memahami. Lagi-lagi awak pelajar semester akhir yang sememangnya sangat sibuk dengan urusan pengajian. Mungkin tatkala awak baca luahan ini, suara kecil awak mesti berkata, 'macam budak-budak!'. Tetapi natijahnya mungkin sebegitu. Tatkala saya sangat rindu akan awak, saya rasa saya seolah-olah seorang budak-budak yang dahagakan belaian kasih sayang melalui perasaan sanubari.

Saya tahu awak akan baca warkah ini. Senyum selalu, cinta J

Luahan kata sependam rasa,
Nota Rindu Untukmu.
Insan bernama Kekasih.
7 Mac 2013
3.43pagi

Monday, February 18, 2013

Nota hati ke hati :)

NOTA CINTA UNTUKNYA ;)

3 November 2012 – 18 Februari 2013. Tiga bulan pertunangan antara aku dan dia. Syaima’ Binti Ilham. Banyak perkara yang datang dan pergi. Ada yang datang membawa duka. Ada yang datang mengukir ketawa. Warkah ini untukmu. Walaupun kita bukan yang pertama untuk awak tetapi harapan yang sangat tinggi daripada diri ini mengharapkan saya ialah yang terakhir untuk bersama awak dalam meniti kehidupan awak. Awak mungkin bukan insan yang pertama datang dan merapati hidup saya, tetapi awak insan pertama yang datang dalam hidup saya dan menjadi pilihan saya bukan menjadi sekadar sahabat saya hatta menjadi isteri saya, rakan sepermainan saya, sahabat sejati saya, pendengar setia saya dan segalanya sehingga saya menghembuskan nafas terakhir saya, sehingga saya menutup mata saya selamanya, sehingga saya dijemput kembali menghadap sang pencipta. Kata guru saya, kalau kita inginkan masa depan seseorang, lupakan sejarahnya. Saya tidak memikirkan siapa pun awak suatu masa dahulu, tetapi saya memikirkan apa yang bakal kita sama-sama tempuhi untuk masa akan datang bersama dalam usaha menggapai kebahagian bersama-sama. Dalam perhubungan antara dua insan, tiada kunci yang dapat mengekalkan hubungan itu melainkan kesetiaan, kejujuran dan kasih saying antara satu sama lain. Itu harapan saya. Walaupun awak tidak kelihatan di hadapan mata saya, saya percaya awak boleh membawa diri bertulangkan tiga kunci itu. Saya bukan orang yang sempurna kerana sifat hakiki sempurna itu hanya milik sang pencipta. Saya bukan orang yang baik seperti kebanyakan orang sangkakan. Tetapi saya cuba untuk menjadi yang baik daripada yang baik. Kita sahaja yang tahu sejauh mana diri kita. Apabila awak menjadi pilihan saya, awaklah penguat saya. Pendorong saya. Tulang saya. Sendi saya. Tatkala saya lemah. Tatkala saya kosong. Tatkala saya hilang. Namun realitinya kadang-kadang saya perlu tempuhi perkara yang membuatkan saya lemah, perkara yang membuatkan saya kosong, perkara yang membuatkan saya hilang sendirian kerana keberadaan awak yang jauh daripada pandangan saya, jauh daripada sisi saya. Apakan daya. Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang papa sedang terlantar di hospital. Memang. Mama ada. Akak ada. Sentiasa ada. Tetapi saya tetap rasa kosong. Tanpa awak saya memang hilang. Saya akui itu. Memang secara luarannya semua tampak saya kuat dan bersemangat. Tetapi dari segi realiti dalamannya saya lemah, saya jatuh, saya sifar tanpa semangat daripada awak. Saya perlu nampak kuat di hadapan mama dan akak kerana saya anak lelaki tunggal dalam keluarga. Jika saya juga kelihatan lemah dihadapan mereka, siapa lagi yang akan menjadi penguat dalam keluarga. Untuk luahan yang pernah awak sampaikan yang saya rasa pesanan ringkas itu masih lagi tersimpan dalam simpanan telefon bimbit awak, untuk perkara itu, saya minta maaf dan saya akan usaha untuk tidak mengulanginya lagi. Mungkin pada masa itu, saya juga menzahirkan sifat ego saya. Ampun dan maaf sekira pernah awak terluka sebab saya. Impian saya hanya untuk membantu mengukir senyuman di wajah awak, tetapi jika pernah juga mengguris hati awak dan memadam lakaran senyuman itu saya sangat-sangat minta maaf. Terima kasih atas segalanya, Syaima’ Binti Ilham. Engkau pilihan aku.

Warkah Bahagia
Untukmu

Papa Sakit.


Assalamualaikum. Salam sejahtera. Salam 1 Malaysia. Rasanya sudah lama tidak muncul post baru di laman ini. Kalaulah laman ini seperti meja buku, rasanya sudah lama berhabuk tebal. Mungkin penulis tidak berkesempatan menulis semua perkara yang berlaku untuk dikongsikan bersama dan hanya tanamkan peristiwa yang berlaku dalam kamus hidup. Tapi apa yang pasti penulis meniti hari-harinya penuh bahagia. J

Hari kian berlalu. Sama ada kita sedar atau tidak. Perkara yang bergelar ’hari’ itu pasti akan datang dan pergi. Kita ini ‘manusia’ hanya mampu merancang. Namun kita tidak punya kuasa yang bisa menentukan. Itu kerja sang pencipta. Apa kerja manusia, jalani kehidupan seperti biasa J

NOTA HARI INI : Papa di Hospital L
Sedar dalam diam yang sepi, seorang insan yang mendidik diri aku telah menjangkau usia 60 tahun. Inilah kali pertama orang dalam keluarga aku sendiri masuk hospital. *PAPA*. Bapa aku. Peristiwa berlaku sekitar pada 17 Feb di mana papa mengadu sakit dada, tetapi hal ini tidak diceritakan kepada mama atau akak. Hati kecil aku berkata mungkin papa nak berkongsi bersama anak lelakinya. Selepas Subuh hari berkenaan aku membawanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar (HPSF) untuk diperiksa. Aku agak terkejut apabila doktor melaporkan kondisi papa agak kritikal namun pada masa yang sama wajah papa dalam keadaan yang begitu tenang. Mungkin papa tidak mahu anaknya berasa khuatir dan sebagainya. Lebih kurang 3 jam berada di Unit Kecemasan HPSF kemudian doktor sekali lagi memanggil aku  untuk melaporkan keadaan papa. Doktor hanya memberitahu papa perlu ditahan atas alasan keadaan jantung papa tidak stabil dan perlu rawatan dan pemantauan yang rapi daripada pihak hospital. Aku hanya menunjukkan reaksi yang biasa dan melakar senyuman dihadapan papa untuk menenangkan hati papa dan tidak mahu papa rasa risau sedangkan hati aku sebaliknya. Sekitar jam 12.15 tengah hari, papa telah didaftarkan ke Wad 16 (CCU) HPSF bilik CCU2. Papa dalam bilik seorang. Sedangkan bilik-bilik lain berempat dan ada yang berenam. Menunjukkan keadaan papa agak teruk kerana bilik itu aku tahu perlu pemantauan yang sangat rapi daripada pihak hospital. Aku terus ke kaunter pendaftaran wad untuk turunkan tandatangan di atas beberapa helaian dokumen yang diperlukan hospital pada masa yang sama papa juga telah bertukar sepersalinan pakaian hospital yang berwarna hijau. Badannya telah penuh dengan wire yang berselirat. Entah apa fungsinya aku juga tidak tahu. Bantuan oksigen juga sentiasa dipasang untuk mengelakkan sesak nafas. Sekitar jam 2.30 petang, setelah selesai doktor pakar meneliti keadaan papa, doktor pun berjumpa dengan aku untuk briefing keadaan papa.

Buat masa sekarang, ayah awak masih tidak dalam keadaan yang normal. Keadaan jantung juga agak kritikal sebab kami dapati ada saluran jantung yang tersumbat. Jantung tersumbat boleh mengakibatkan dua perkara. Satu, keadaan yang kembali normal setelah diberi ubat atau pembedahan. Dua, maut. Saya sudah pun bagi ubat untuk cairkan darah tersebut. Kalau encik tanya saya sama ada ubat itu berkesan atau tidak, saya dapat laporan yang positif daripada tindak balas ubat berkenaan. Namun begitu, keadaan jantung ayah awak masih lagi belum di paras yang normal. Ayah awak sangat memerlukan rehat yang cukup dan dijangka akan berada di wad sekitar seminggu. Kalau dalam masa seminggu ayah dan jantung beliau memberi tindakan yang positif, saya akan benarkan balik. Tetapi ayah awak tidak boleh kerja dalam masa sebulan. Kalau jantungnya berada di paras yang normal, ayah awak boleh bekerja tetapi tidak boleh kerja yang berat. Sekarang ini ayah awak cuma perlu banyak berehat. Terima kasih ya.”

Itu laporan daripada doktor pakar unit berkenaan. Aku hanya terdiam seribu bahasa dan hanya mengangguk mendengar penjelasan doktor berkenaan. Aku hanya boleh memandang wajah papa yang terlantar di hospital menerusi tingkap kaca wad. Aku tidak sanggup mendekatinya. Hanya air mata bergenang. Menitis membasahi kelopak mata. Aku terus keluar daripada wad dan memanggil mama dan akak untuk masuk kerana wad itu hanya membenarkan 2 orang pelawat pada satu-satu masa.
Aku hanya menunjukkan reaksi yang tenang di hadapan mama dan akak sedangkan akak menangis kesedihan sehingga akak suarakan kepada aku.

Kau tak rasa apa-apa ke tengok papa macam tu?”

Aku hanya berdiam diri. Suara hati kecil aku berkata, perlukah aku menangis menunjukkan kesedihan yang aku rasa dihadapan mama dan akak. Pasti mama akan rasa lebih sedih daripada aku kerana papa suaminya. Aku anak lelaki tunggal dalam keluarga. Perlukah aku tunjuk semua itu. Kalau aku tunjuk semua itu, siapa lagi yang akan menjadi penguat untuk mereka?