Monday, February 18, 2013

Papa Sakit.


Assalamualaikum. Salam sejahtera. Salam 1 Malaysia. Rasanya sudah lama tidak muncul post baru di laman ini. Kalaulah laman ini seperti meja buku, rasanya sudah lama berhabuk tebal. Mungkin penulis tidak berkesempatan menulis semua perkara yang berlaku untuk dikongsikan bersama dan hanya tanamkan peristiwa yang berlaku dalam kamus hidup. Tapi apa yang pasti penulis meniti hari-harinya penuh bahagia. J

Hari kian berlalu. Sama ada kita sedar atau tidak. Perkara yang bergelar ’hari’ itu pasti akan datang dan pergi. Kita ini ‘manusia’ hanya mampu merancang. Namun kita tidak punya kuasa yang bisa menentukan. Itu kerja sang pencipta. Apa kerja manusia, jalani kehidupan seperti biasa J

NOTA HARI INI : Papa di Hospital L
Sedar dalam diam yang sepi, seorang insan yang mendidik diri aku telah menjangkau usia 60 tahun. Inilah kali pertama orang dalam keluarga aku sendiri masuk hospital. *PAPA*. Bapa aku. Peristiwa berlaku sekitar pada 17 Feb di mana papa mengadu sakit dada, tetapi hal ini tidak diceritakan kepada mama atau akak. Hati kecil aku berkata mungkin papa nak berkongsi bersama anak lelakinya. Selepas Subuh hari berkenaan aku membawanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar (HPSF) untuk diperiksa. Aku agak terkejut apabila doktor melaporkan kondisi papa agak kritikal namun pada masa yang sama wajah papa dalam keadaan yang begitu tenang. Mungkin papa tidak mahu anaknya berasa khuatir dan sebagainya. Lebih kurang 3 jam berada di Unit Kecemasan HPSF kemudian doktor sekali lagi memanggil aku  untuk melaporkan keadaan papa. Doktor hanya memberitahu papa perlu ditahan atas alasan keadaan jantung papa tidak stabil dan perlu rawatan dan pemantauan yang rapi daripada pihak hospital. Aku hanya menunjukkan reaksi yang biasa dan melakar senyuman dihadapan papa untuk menenangkan hati papa dan tidak mahu papa rasa risau sedangkan hati aku sebaliknya. Sekitar jam 12.15 tengah hari, papa telah didaftarkan ke Wad 16 (CCU) HPSF bilik CCU2. Papa dalam bilik seorang. Sedangkan bilik-bilik lain berempat dan ada yang berenam. Menunjukkan keadaan papa agak teruk kerana bilik itu aku tahu perlu pemantauan yang sangat rapi daripada pihak hospital. Aku terus ke kaunter pendaftaran wad untuk turunkan tandatangan di atas beberapa helaian dokumen yang diperlukan hospital pada masa yang sama papa juga telah bertukar sepersalinan pakaian hospital yang berwarna hijau. Badannya telah penuh dengan wire yang berselirat. Entah apa fungsinya aku juga tidak tahu. Bantuan oksigen juga sentiasa dipasang untuk mengelakkan sesak nafas. Sekitar jam 2.30 petang, setelah selesai doktor pakar meneliti keadaan papa, doktor pun berjumpa dengan aku untuk briefing keadaan papa.

Buat masa sekarang, ayah awak masih tidak dalam keadaan yang normal. Keadaan jantung juga agak kritikal sebab kami dapati ada saluran jantung yang tersumbat. Jantung tersumbat boleh mengakibatkan dua perkara. Satu, keadaan yang kembali normal setelah diberi ubat atau pembedahan. Dua, maut. Saya sudah pun bagi ubat untuk cairkan darah tersebut. Kalau encik tanya saya sama ada ubat itu berkesan atau tidak, saya dapat laporan yang positif daripada tindak balas ubat berkenaan. Namun begitu, keadaan jantung ayah awak masih lagi belum di paras yang normal. Ayah awak sangat memerlukan rehat yang cukup dan dijangka akan berada di wad sekitar seminggu. Kalau dalam masa seminggu ayah dan jantung beliau memberi tindakan yang positif, saya akan benarkan balik. Tetapi ayah awak tidak boleh kerja dalam masa sebulan. Kalau jantungnya berada di paras yang normal, ayah awak boleh bekerja tetapi tidak boleh kerja yang berat. Sekarang ini ayah awak cuma perlu banyak berehat. Terima kasih ya.”

Itu laporan daripada doktor pakar unit berkenaan. Aku hanya terdiam seribu bahasa dan hanya mengangguk mendengar penjelasan doktor berkenaan. Aku hanya boleh memandang wajah papa yang terlantar di hospital menerusi tingkap kaca wad. Aku tidak sanggup mendekatinya. Hanya air mata bergenang. Menitis membasahi kelopak mata. Aku terus keluar daripada wad dan memanggil mama dan akak untuk masuk kerana wad itu hanya membenarkan 2 orang pelawat pada satu-satu masa.
Aku hanya menunjukkan reaksi yang tenang di hadapan mama dan akak sedangkan akak menangis kesedihan sehingga akak suarakan kepada aku.

Kau tak rasa apa-apa ke tengok papa macam tu?”

Aku hanya berdiam diri. Suara hati kecil aku berkata, perlukah aku menangis menunjukkan kesedihan yang aku rasa dihadapan mama dan akak. Pasti mama akan rasa lebih sedih daripada aku kerana papa suaminya. Aku anak lelaki tunggal dalam keluarga. Perlukah aku tunjuk semua itu. Kalau aku tunjuk semua itu, siapa lagi yang akan menjadi penguat untuk mereka?

No comments:

Post a Comment