Monday, February 18, 2013

Nota hati ke hati :)

NOTA CINTA UNTUKNYA ;)

3 November 2012 – 18 Februari 2013. Tiga bulan pertunangan antara aku dan dia. Syaima’ Binti Ilham. Banyak perkara yang datang dan pergi. Ada yang datang membawa duka. Ada yang datang mengukir ketawa. Warkah ini untukmu. Walaupun kita bukan yang pertama untuk awak tetapi harapan yang sangat tinggi daripada diri ini mengharapkan saya ialah yang terakhir untuk bersama awak dalam meniti kehidupan awak. Awak mungkin bukan insan yang pertama datang dan merapati hidup saya, tetapi awak insan pertama yang datang dalam hidup saya dan menjadi pilihan saya bukan menjadi sekadar sahabat saya hatta menjadi isteri saya, rakan sepermainan saya, sahabat sejati saya, pendengar setia saya dan segalanya sehingga saya menghembuskan nafas terakhir saya, sehingga saya menutup mata saya selamanya, sehingga saya dijemput kembali menghadap sang pencipta. Kata guru saya, kalau kita inginkan masa depan seseorang, lupakan sejarahnya. Saya tidak memikirkan siapa pun awak suatu masa dahulu, tetapi saya memikirkan apa yang bakal kita sama-sama tempuhi untuk masa akan datang bersama dalam usaha menggapai kebahagian bersama-sama. Dalam perhubungan antara dua insan, tiada kunci yang dapat mengekalkan hubungan itu melainkan kesetiaan, kejujuran dan kasih saying antara satu sama lain. Itu harapan saya. Walaupun awak tidak kelihatan di hadapan mata saya, saya percaya awak boleh membawa diri bertulangkan tiga kunci itu. Saya bukan orang yang sempurna kerana sifat hakiki sempurna itu hanya milik sang pencipta. Saya bukan orang yang baik seperti kebanyakan orang sangkakan. Tetapi saya cuba untuk menjadi yang baik daripada yang baik. Kita sahaja yang tahu sejauh mana diri kita. Apabila awak menjadi pilihan saya, awaklah penguat saya. Pendorong saya. Tulang saya. Sendi saya. Tatkala saya lemah. Tatkala saya kosong. Tatkala saya hilang. Namun realitinya kadang-kadang saya perlu tempuhi perkara yang membuatkan saya lemah, perkara yang membuatkan saya kosong, perkara yang membuatkan saya hilang sendirian kerana keberadaan awak yang jauh daripada pandangan saya, jauh daripada sisi saya. Apakan daya. Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang papa sedang terlantar di hospital. Memang. Mama ada. Akak ada. Sentiasa ada. Tetapi saya tetap rasa kosong. Tanpa awak saya memang hilang. Saya akui itu. Memang secara luarannya semua tampak saya kuat dan bersemangat. Tetapi dari segi realiti dalamannya saya lemah, saya jatuh, saya sifar tanpa semangat daripada awak. Saya perlu nampak kuat di hadapan mama dan akak kerana saya anak lelaki tunggal dalam keluarga. Jika saya juga kelihatan lemah dihadapan mereka, siapa lagi yang akan menjadi penguat dalam keluarga. Untuk luahan yang pernah awak sampaikan yang saya rasa pesanan ringkas itu masih lagi tersimpan dalam simpanan telefon bimbit awak, untuk perkara itu, saya minta maaf dan saya akan usaha untuk tidak mengulanginya lagi. Mungkin pada masa itu, saya juga menzahirkan sifat ego saya. Ampun dan maaf sekira pernah awak terluka sebab saya. Impian saya hanya untuk membantu mengukir senyuman di wajah awak, tetapi jika pernah juga mengguris hati awak dan memadam lakaran senyuman itu saya sangat-sangat minta maaf. Terima kasih atas segalanya, Syaima’ Binti Ilham. Engkau pilihan aku.

Warkah Bahagia
Untukmu

No comments:

Post a Comment