Tuesday, September 8, 2015

Tidakkah kau perasan? Tidakkah kau sedar?

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Bismillah. Dengan nama Allah.

Biar aku mulakan lembaran dengan memuji ilahi. Kerana dengan izin dan inayah-Nya dapat lagi aku bersua dalam alam maya yang penuh tipu daya. Melihat beberapa luahan yang ada, aku terpanggil untuk menulis sedikit bicara sebagai jawapan bagi persoalan. Sudah lama tidak mengarang. Sudah lama tidak membaca. Ada kebarangkalian ayat tidak tersusun atur. Ada mungkin bunyi tidak rapi. Biar aku cuba…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Perkahwinan ini penuh dengan ujian dan pancaroba. Ujian ini membawa kita ke tangga sebagai platfom kita menuju jalan dewasa. Platfom ini digambarkan dengan tangga. Bukan jalan yang lurus. Tangga. Tak semua orang boleh naik. Tapi tak mustahil semua orang boleh. Tangga. Ianya menuju ke atas. Susah. Bukan senang. Cepat penat, kau akan turun. Laju, kau mungkin akan tergelincir. Turun… tergelincir… ia akan membawa kau terus ke bawah. Orang positif, mereka akan cuba sekali lagi. Tapi golongan ini aku kira di dalam kelompok minoriti. Orang negatif, mereka langsung tinggalkan. Golongan ini majoriti. Sebab itu, orang berjaya di kelompok minoriti. Ramai yang tidak berjaya daripada yang berjaya. Ini bukan sekadar cerita, namun realiti kini. Kita kena hadapi.

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku tidak menafikan perkahwinan ini bahtera kita yang kita bina bersama. Kita kepala membawa gelaran pengemudi bahtera. Namun jangan pernah sesekali kau lupa. Bahtera yang kau bina bukan untuk kau berdua. Bahtera yang kau bina ini ada penumpang yang akan kau bawa sekali. Kau tak mampu nak mengelak. Ini susunan sang pencipta. Kau nak melawan siapa?

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Lumrah kehidupan hidup ini mudah. Formula dalam dunia ini sangat mudah. Islam juga agama yang sangat mudah. Pepatah islam kata, “buat apa yang tuhan suruh, tinggal apa yang Dia larang. Perkara dilarang. Buat dapat dosa, tinggal dapat pahala”. Inggeris juga ada kata, “what goes around, comes around”. Ada juga pepatah yang singkat namun semua orang mengerti, “karma is there”. Formula hidup ini sangat mudah. Dalam terjemahan inggeris ke melayu, “nobody will against us if we do nothing wrong”. Tidak ada seorang pun dalam dunia ini akan menikam kita kalau tidak tidak buat sebarang kesalahan. Ada baiknya refleksi diri.

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Lelaki 9 akal. Perempuan hanya 1. Itu ciptaan Dia. Aku sesekali tidak menafikan dan aku juga tidak boleh mengelak. Disaat nafsu menguasai akal. Kau tanya di mana imam kau? Di mana akal yang lebih itu? Sepatutnya bukan soalan itu kau aju. Namun kau perlu tanya diri dengan soalan itu. Bukan aku tiada. Kau selalu menidakkan aku. Aku cuba hadir. Kau kata nanti. Bukankah aku juga ada cara aku sendiri yang juga perlu ada tolak ansur? Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Kau tanya lagi. Kenapa kasih sayang semakin berkurang. Jangan tanya aku. Cuba tanya diri sendiri. Kenapa ianya berkurang. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Hampir setiap malam di ruangan kamar siapa yang menjadi teman kau? Bukankah ruangan social ‘instagram’, ‘facebook’ yang menjadi teman kau hingga mata lelap membina mimpi? Dan kau tanya kenapa kasih sayang berkurang? Adakah ini caranya? Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku mula bekerja. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Tidakkah kau memahami. Aku tak pernah minta kau berada di meja pintu setiap aku kali pergi dan pulang. Namun cukuplah kalau aku boleh lakar senyuman bila lalu di daun pintu. Pernah? Ya, ada. Namun boleh dikira. Aku rasa di pejabat walau tidak ramai namun mereka lakar suasana hampir 8 jam sehari penuh dengan senyuman dan gelak ketawa. Bukankah kau sebagai suri hati yang patut aku rasa gembira untuk gelak ketawa? Kenapa orang lain yang mampu? Kenapa bukan kau? Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Ya. Disaat kau bawa gelaran isteri. Aku berjanji. Depan orang ramai. Namun hakikatnya bukan dengan manusia tapi dengan sang pencipta. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Kau juga melafazkan janji taat setia hormat akan aku. Yang membawa gelaran suami kau. Yang membawa syurga kau. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Atau kau sudah mula lupa? Dikala konflik menuntut kita, suara siapa yang lebih tinggi menengking. Dimana janji taat setia kau? Hilang! Tanpa seloroh. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Banyak kenangan kau rasa tertinggal di zaman berkasih. Diwaktu bersuami tiada lagi. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau sedar. Kau seringkali terikat dengan laman sosial kau. Kau seringkali ditambat dengan gadget dunia. Adakah itu cara kau nak cambah kasih sayang? Adakah itu cara yang semai benih kasih suami isteri? Bila ditegur, apa jawapan kau? Tanya diri. Aku tidak mahu berlebih kerana hasilnya aku jamin. Perbalahan. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Syurga kau bersama aku. Tidakkah kau perasan. Tidakkah kau ingat. Syurga aku masih dan kekal dengan mak aku. Kekal selamanya. Aku tidak minta. Itu perintah sang pencipta. Nak menafikan? Nak mengelak? Siapa kita? Aku dilahirkan daripada keluarga yang tidak besar. Tetapi ahli dalam keluarga aku cukup besar buat aku. Tidak mungkin aku ketepikan mereka. Apa salah mereka sampai kau nak membenci sampai tahap tu? Adakah hanya mereka salah dan kita tidak? Mereka ini juga penumpang dalam bahtera kita. Mereka ini juga tetamu dalam bahtera kita. Dan perlu untuk kita melayani sebaiknya tetamu. Aku dah lega. Dengan keluarga kau. Setiap seorang tidak terlepas, aku baik. Hampir seluruh ahli keluarga kau, aku baik. Yang lain hanya belum sempat bersua muka. Hal yang lalu. Aku lupakan. Terus maju kehadapan. Kerana mereka juga tetamu yang ada bersama dalam bahtera kita. Puas aku cuba. Hampir penat. Niat aku cuma satu. Kau juga boleh buat benda yang sama. Tapi? Tanya diri sendiri. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Perkahwinan ini jalan yang mudah untuk menjana pahala. Perkahwinan ini menjadi pembakar semangat untuk laksana ibadah. Betul. Tugas suami mendidik dan membimbing. Bukankah kau juga boleh menjadi pembantu aku dalam konteks imam dan makmum. Imam tak selalunya betul dan makmum tidak selalunya salah. Adakala imam juga salah, makmum tegur. Adakala ada makmum salah, tugas imam menegur. Bukankah kau juga boleh membantu aku untuk membina semangat untuk beribadah? Bila kau ditegur, malah kau menengking dan endah. Tapi… Aku semakin lalai. Aku terpaksa cari jalan untuk berdiri sendiri. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku pilih kau. Bukan siapa kau dulu. Siapa kau dulu, bertubi aku pertahan. Aku tidak kisah. Aku hanya ingin kau yang aku mula kenal dan seterusnya. Tapi kau? Seringkali buat aku mengingatkan cerita dulu. Kenapa? Puas aku cuba lupa. Aku belajar untuk terus lupa. Kadang aku berjaya. Kadang aku gagal. Namun kebanyakkan aku berjaya. Kerana itu cerita aku. Aku yang pilih cerita aku. Aku terus maju ke depan. Tapi kau membuat aku toleh ke belakang sejenak. Tak mengapa. Aku rela diam…

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku menulis ini bukan ingin menuding jari. Sekadar memberi jawapan kenapa. Ingin merungkai persoalan. Agar kau perasan. Agar kau sedar. Bukan ingin menyalahkan. Cuma mengkhabarkan. Agar dapat melayari bahtera berpaksikan kompas yang telah disusun rapi.

TIDAKKAH KAU PERASAN?
TIDAKKAH KAU SEDAR?

Aku seringkali lena berseorangan walau kau disebelah…

Aku rela diam…

No comments:

Post a Comment