Sunday, December 23, 2012

Peristiwa gelap merungkai sebuah kisah....


Cuti pertengahan semester bermula. Aku juga telah sampai ke kampung halaman dengan selamatnya. Letih badan masih terasa menjadikan aku terus dalam keadaan separuh sedar diri. Mata yang berat menahan ngantuk akhirnya tewas dalam pembaringan. Aku terus terlena dibuai mimpi. Badan yang terlalu letih, kaki yang terasa lemah longlai dek berjalan terlalu banyak membuatkan tidur aku juga rasa kurang selesa. Tiba-tiba aku terjaga daripada buaian mimpi dalam keadaan yang penuh kerinduan walaupun baru sahaja beberapa jam berpisah setelah berpuluh jam bertemu L. Telefon bimbitnya juga mati tak dapat aku komunikasi antara satu sama lain. Biarkan masa berlalu menanti dia bangun. Aku tahu dia juga kepenatan. Yang teramat sangat. Tiba-tiba melayang di fikiran aku tentang peristiwa yang agak gelap warnanya yang berlaku dalam bilik di kampus pada aku segenap sebelum aku pulang untuk bercuti.

Peristiwa 21 Disember 2012. Sekadar ingin berkongsi dalam cerita. Berlaku bermula sekitar jam 12 tengah malam selepas perbualan telefon aku bersama bakal isteri aku terhenti selepas dia hanyut dalam tidur dan aku masih segar di pembaringan dalam bilik kolej kediaman aku. Keadaan yang meriah, riuh dengan suasana budak-budak level yang tampak gembira untuk pulang bercuti menjadi sunyi sepi dan hening tanpa suara. Aku terus merapati mata aku untuk tidur dan bangkit hari esok. Kira-kira 15 minit kemudian, tiba-tiba rasa seperti ada gerangan yang meniup kuat ke dalam lubang telinga sebelah kiri. Kini dada aku berdegup kencang. Mulut aku hanya terkunci dan cuba menenangkan keadaan. Bilik aku juga gelap tidak berteman.

Aku terus gagahkan diri, bangkit dari katil yang mini bagi saiz seperti aku ini lalu keluar ke level meninjau keadaan sekeliling. Semua pintu ditutup rapi menunjukkan semua mungkin sudah jauh tidur meninggalkan amal fana dan berada dalam alam maya masing-masing. Hanya ada 1 bilik yang masih sibuk menyiapkan tugasan. Aku pun berjumpa mereka dan bersembang hanya untuk menenangkan keadaan setelah apa yang berlaku tadi. Selepas rasa diri aku sudah kembali tenang, aku kembali ke bilik dan terus rebahkan badan aku atas katil untuk meneruskan peraduan.

Keadaan tenang kali ini. Aku hanya gagahkan diri walaupun ada sekelumit perasaan takut kerana aku juga manusia biasa. Aku kemaskan badan, rapatkan mata untur melenakan diri. Harapan untuk tenang hingga ke siang tidak kesampaian. Ketenangan menjadi cemas. Baldi yang aku tempatkan peralatan mandi aku di bawah katil aku ditarik-tarik. Dari hujung kepala hingga hujung kaki. Bunyi seretan itu aku dapat dengarkan dengan cukup jelas. Perasaan aku semakin menggelodak. Ketenangan aku hampir hancur.

Tidak cukup dengan itu, kedengaran almari aku diketuk-ketuk berulang kali dari arah belakang. Bunyi sungguh jelas. Aku hampir tidak bermaya. Tidak ada kekuatan untuk bangkit dan melihat apa yang berlaku. Seperti terpaku di atas katil dan merelakan apa yang berlaku. Kemudian itu, terasa sendiri badan aku seperti dirapat-rapatkan. Pergerakan terasa bergerak sendiri. tidak dipaksa seperti aku menyerah diri. Terasa kaki aku diikat, badan diikat kuat dengan sehelai kain. Apa yang boleh aku gerakkan sendiri hanya bernafas dan mata digerakkan ke kiri dan kanan. Aku merasakan diri aku seperti mayat yang mengharapkan manusia menggerakkan. Seperti terikat tidak mampu bergerak. Badan aku yang berpeluh kecemasan tiba menjadi sejuk kaku bagai dalam peti simpanan mayat. Hati aku tidak memikirkan lain kecuali zikir pada sang pencipta kerana aku percaya yang melakukan semua ini juga makhluk ciptaan-Nya. Sama seperti aku.

Hampir 20 minit aku merasa kesakitan yang kuat. Selepas itu, aku terasa kain yang seperti terikat pada badan aku ditarik dengan kuat dengan tiupan angin yang datang secara tiba-tiba. Aku masih terpaku dalam pembaringan. Merasakan darah mula mengalir dalam badan memberi aku kekuatan untuk menggerakkan anggota badan yang ada. Terasa seperti hidup semula. Level aku yang tadinya sunyi dan sepi kembali riuh suara gembira. Mulut aku yang secara automatiknya mengungkap syukur melantasi tangan aku terus mencapai telefon bimbit menelefon bakal isteri minta sedikit kekuatan.

Hanya sekadar perkongsian.........

No comments:

Post a Comment